Kesedaran Penipuan
Penipuan memang berlaku. Menyedihkan sekali, perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Janganlah biarkan perkara ini berlaku kepada diri anda. Di bawah ini, kami senaraikan beberapa senario penipuan yang lazim berlaku supaya anda dapat berwaspada dengan skim penipuan industri yang sering terjadi.
Senario Penipuan yang Lazim Berlaku
Skim Penipuan Janji Temu Dalam Talian
Anda bertemu dengan seorang wanita yang cantik dan bijak. Anda tidak pernah bersemuka dengan wanita itu — tetapi sudah berbulan-bulan anda berbual dengannya, malahan juga mungkin telah berbual menerusi telefon. Tidak lama lagi anda akan dapat bertemu tetapi buat masa ini, dia berada di sebelah sana dunia. Kemudian, wanita itu mengalami kecemasan dan memerlukan bantuan kewangan. Tidak banyak, beberapa ratus ringgit sahaja. Bolehkah anda membantu? Selepas itu, pada minggu yang berikutnya, seseorang jatuh sakit. Sekali lagi, anda tidak teragak-agak untuk membantu, bukan? Namun begitu, dia bukanlah wanita yang anda sangka. Dia telah memperdayakan anda. Wanita itu telah membina kepercayaan anda terhadapnya dan kini dia bersedia untuk mengikis semua wang anda.
Skim Penipuan Loteri dan Cabutan Bertuah
Anda menerima berita yang menakjubkan dalam e-mel anda hari ini, anda menang loteri! Hadiah utamanya sangat tinggi dan anda sudah pun mula terbayang-bayang tentang perkara yang dapat dilakukan dengan wang kemenangan itu. Anda tidak begitu pasti sama ada anda memang telah membeli loteri itu. Bagaimanapun, anda sudah pun terlupa sajian yang dinikmati semasa sarapan pagi; jadi, mudah sahaja untuk terlupa perkara seperti loteri itu. Sebenarnya terdapat perkara yang terselindung, pengirimnya meminta sedikit wang daripada anda supaya anda dapat menunaikan hadiah itu. Jumlah yang kecil sahaja, apalah nilai RM1,000 apabila anda bakal menerima berjuta-juta ringgit?
Skim Penipuan Saudara yang Memerlukan Bantuan
Cucu perempuan anda sedang mengembara ke Mexico dan tiba-tiba kehabisan wang. Dia menghantar e-mel segera atau menelefon anda secara mendesak yang mengatakan dia mengalami kecemasan dan meminta wang. Anda tidak ingat sama ada cucu anda telah memberitahu dia akan ke Mexico tetapi anda berasa bimbang akan keselamatannya dan ingin memastikan dia selamat. Jadi, anda mengirim beberapa ratus ringgit kepadanya. Apalah nilai beberapa ratus ringgit jika dibandingkan dengan keselamatan cucu anda?
Skim Penipuan Pembeli-belah Rahsia
Anda bernasib baik! Anda baru sahaja mendapat kerja sambilan baharu sebagai pembeli-belah rahsia dan diberikan tugas anda yang pertama. Anda hanya perlu menilai perkhidmatan pelanggan di kedai jualan runcit setempat. Bunyinya mudah sahaja, bukan begitu? Akan tetapi, terdapat perkara yang terselindung. Sekeping cek atau wang pos dengan arahan untuk mendepositkannya telah dihantar kepada anda tetapi anda mendapati amaunnya lebih banyak daripada yang sepatutnya. Jadi, sekarang anda perlu memulangkan wang itu kepada pengirimnya. Bunyinya agak mencurigakan tetapi anda tidak berfikir panjang tentang perkara itu. Namun begitu, sebaik sahaja anda mengirim transaksi, anda mendapat tahu bahawa cek atau wang pos yang asal itu palsu dan kini anda tidak boleh mendapatkan semula wang yang baru anda kirimkan. Jadi, anda terlepas kedua-dua amaun wang itu.
Skim Penipuan Pembelian Kenderaan
Pencarian gigih anda di Internet untuk mendapatkan tawaran kereta impian yang hebat sudah membuahkan hasil! Anda menjumpai kereta yang anda ingini pada harga yang lebih rendah daripada yang boleh ditawarkan oleh peniaga setempat anda. Anda menghubungi penjual itu dan orang itu meminta anda mengirim bayaran muka dan/atau bayaran perkhidmatan melalui pindahan wang untuk permohonan pinjaman. Dia juga boleh menghantar resit kepada anda. Jangan kirim bayaran muka atau bayaran perkhidmatan melalui pindahan wang. Anda tidak akan mendapat kenderaan impian anda dan anda juga tidak akan boleh mendapatkan semula wang anda.
Skim Penipuan Pembelian di Internet
Anda menjumpai harga yang menakjubkan untuk sewaan pangsapuri secara dalam talian dan membuat keputusan untuk meneruskannya dan menandatangani kontrak sewaan. Bagaimanapun, pemberi sewa itu sebenarnya penipu yang meminta anda membayar sewa bulan pertama melalui pindahan wang dan pangsapuri dengan harga yang menakjubkan itu sebenarnya tidak wujud. Berwaspadalah apabila membeli-belah secara dalam talian dan apabila orang meminta anda memindahkan wang atau mengirim deposit kepada mana-mana individu atau perniagaan. Ini boleh berlaku dengan sebarang pembelian dalam talian – haiwan kesayangan, sewaan percutian, kongsi masa atau kereta. Apa-apa sahaja. Jangan kirim wang dengan kawat untuk pembelian di Internet. Anda tidak akan mendapat barangnya dan anda tidak akan boleh mendapatkan semula wang anda.
Skim Penipuan Iklan Surat Khabar
Ketika itu pagi Ahad, anda baru sahaja menuangkan secawan kopi yang segar untuk diri anda, sedang bersedia untuk duduk dan menikmati sarapan sambil memegang surat khabar. Menyelak ke bahagian iklan kecil, anda terlihat sebuah iklan untuk peti sejuk keluli tahan karat yang baharu pada harga yang nampaknya terlalu bagus untuk menjadi kenyataan. Anda berfikir sejenak tentang keadaan anda yang sudah beberapa lama memerlukan peti sejuk dan membuat keputusan untuk mencubanya. Anda membelinya. Sudah tentu, anda berasa agak ragu-ragu kerana anda membelinya daripada orang yang tidak dikenali dan lebih aneh lagi – orang itu meminta anda memindahkan wang kepadanya untuk pembelian itu. Jangan sekali-kali membuat pindahan wang untuk membeli sesuatu daripada orang yang tidak dikenali. Wujud kemungkinan anda tidak akan mendapat barang itu sama sekali dan anda akan kehilangan wang.
Skim Penipuan Amal
Bencana alam baru-baru ini telah menyebabkan seluruh negara berada dalam kekalutan untuk membina semula kehidupan setelah berlakunya kemusnahan. Oleh itu, anda ingin melakukan bahagian anda dengan membantu dan menyumbangkan wang. Cukup menyedihkan, bencana alam seperti banjir, puting beliung atau ribut taufan sering kali menjadi alat tunggangan penipu untuk membentuk pertubuhan "amal". Mereka menyasarkan orang yang berniat baik sebagai mangsa. Hati anda berasa hiba melihat orang-orang yang baru sahaja kehilangan segala-galanya. Anda menerima panggilan telefon atau surat daripada sebuah pertubuhan amal, memberitahu anda cara untuk memindahkan wang. Pastikan anda sekali-kali tidak mengirim wang kepada orang atau pertubuhan yang anda tidak kenali. Sebaliknya, hubungilah Persatuan Bulan Sabit Merah atau pertubuhan lain yang diketahui dan dipercayai serta anda memahami cara mereka mengumpulkan dan menggunakan wang sumbangan itu. Wujud kemungkinan, jika anda memindahkan wang kepada pertubuhan yang anda tidak kenali, wang anda bukannya disalurkan ke tujuan yang dimaksudkan, sebaliknya dimasukkan ke poket sang penipu.
Skim Penipuan Cek atau Wang Pos
Anda menerima sekeping cek atau wang pos melalui mel sebagai bayaran pendahuluan untuk kerja hebat yang baru sahaja anda dapat – atau untuk barang niaga yang anda jual melalui iklan dalam talian. Namun, perkara terselindungnya ialah amaun cek atau wang pos itu lebih banyak daripada nilai yang sepatutnya, jadi si penipu itu meminta anda mendepositkan cek dan kemudian memulangkan amaun yang mereka “terlebih bayar” itu melalui kawat. Sejurus selepas itu, anda menyedari bahawa cek atau wang pos itu palsu dan – lebih menyedihkan lagi – anda tidak boleh mendapatkan semula wang yang anda telah kirim melalui pindahan wang itu.
Skim Penipuan Penganiayaan Warga Emas
Walaupun penipuan ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, penting untuk dimaklumi bahawa hampir satu pertiga daripada semua mangsa penipuan melalui telepemasaran berusia 60 tahun atau lebih. Berhati-hatilah sebelum mengirim wang kepada orang yang tidak dikenali sebagai pertukaran untuk urus janji seperti pembaikan rumah, pinjaman pemangsa, perancangan hartanah ataupun sejumlah wang yang besar untuk menggandakan “wang simpanan” anda. Jangan sekali-kali benarkan orang yang tidak dikenali untuk mengurus wang dan aset anda. Penipu akan mencuba sedaya upaya untuk memanipulasi anda supaya menyerahkan hartanah dan/atau wang anda dan boleh mengosongkan akaun semasa anda atau seluruh simpanan anda dalam masa beberapa minit sahaja. Jangan sekali-kali mengamanahkan wang anda kepada orang yang tidak dikenali.
Pinjaman Terjamin
Adakah anda mengirim wang kerana anda "terjamin" akan menerima kredit atau pinjaman? Jika ya, berhati-hatilah! Tidak mungkin anda dikehendaki mengirim wang untuk menerima kredit atau pinjaman yang sebenar.
Skim Penipuan Pindahan Wang
Penipuan pindahan wang boleh berlaku dalam berbagai-bagai cara dan bentuk. Perkara yang lebih memburukkan keadaan, sang penipu sentiasa mempelajari helah dan teknik yang baharu. Mungkin sangat sukar untuk mengenal pasti bahawa situasi tertentu itu sebenarnya suatu penipuan. Itulah sebabnya sangat penting untuk sentiasa berada selangkah ke hadapan dari si penipu yang licik.
Pencurian Identiti
Pencurian identiti berlaku apabila seseorang mengambil alih identiti anda untuk melakukan penipuan atau perbuatan jenayah yang lain. Penjenayah boleh mendapatkan maklumat yang mereka perlukan untuk mengambil alih identiti anda daripada pelbagai sumber. Ini termasuklah dengan mencuri dompet anda, menyelongkar sampah anda atau dengan memanipulasi maklumat kredit atau bank anda. Mereka mungkin mendekati anda secara peribadi, melalui telefon atau Internet dan meminta maklumat itu daripada anda.
Skim Penipuan Telepemasaran
Anda menerima panggilan telefon daripada pemanggil yang tidak dikenali dan berasa ragu-ragu untuk menjawabnya. Pada saat-saat akhir, anda membuat keputusan untuk menjawabnya dan mendapat suatu kejutan – anda memenangi percutian pelayaran percuma. Wah, bagusnya! Untuk menerima percutian pelayaran percuma itu, anda hanya perlu membuat bayaran pos dan pengendalian supaya diberikan "tawaran" rasmi. Mudah sahaja bunyinya. Suara yang meyakinkan di hujung talian sebelah sana sudah menipu anda untuk memberikan maklumat kewangan anda kepada mereka dan seterusnya membuat bayaran pos yang diminta. Apabila anda memindahkan wang kepada orang yang tidak dikenali atau memberikan maklumat peribadi/kewangan kepada pemanggil yang tidak dikenali, kemungkinan anda untuk menjadi mangsa penipuan telepemasaran kini semakin tinggi.
Beringatlah bahawa maklumat peribadi anda sering diserahkan kepada telepemasar melalui pihak ketiga. Jika anda pernah menjadi mangsa sebelum ini, berhati-hatilah dengan orang yang membuat panggilan dan menawarkan bantuan untuk mendapatkan semula apa-apa yang anda hilang tetapi sebelum itu anda dikehendaki membuat bayaran terlebih dahulu.
Lindungi Diri Anda
Tempat untuk mendapatkan bantuan jika anda ditipu.
Jika anda merupakan mangsa skim penipuan pindahan wang, mula-mula laporkan kejadian itu kepada pihak polis setempat anda. Seterusnya, failkan laporan sepertimana yang tersenarai di bawah. Setiap kali anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan, usahlah teragak-agak untuk menghubungi kami dengan segera menerusi talian 1 800 882 077.
Laporkan Penipuan
Jika anda merupakan mangsa penipuan, anda perlu melaporkannya. Di sini terdapat senarai sumber yang bermanfaat untuk membantu anda melaporkan kejadian penipuan itu.
1). Hubungi pihak polis
Mulakan dengan pihak polis setempat anda. Semua skim penipuan pindahan wang hendaklah dilaporkan kepada pihak polis.
2). Hubungi jabatan penipuan Ria
Kami ingin mengetahui perkara itu supaya kami dapat melakukan segala yang termampu demi memastikan kejadian sedemikian tidak berlaku lagi. Hubungilah kami melalui telefon di talian 1 800 882 077 atau melalui e-mel di alamat MY_support@riamoneytransfer.com.
Ikuti Kami